Kehidupan manusia adalah bergantung kepada penggunaan masanya. Oleh itu, Islam amat mengambil berat tentang masa dan memberitahu manusia bahawa setiap detik masanya adalah amat berharga. Sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya nilai masa dalam Islam dengan Allah sendiri bersumpah dengan masa dalam firmanNya yang selalu didengar;
وَالْعَصْرِ(1)إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ(2)إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(3)
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran”. (al-‘Asr: 1-3)
Dalam ayat di atas Allah bersumpah dengan masa bagi menunjukkan kepada manusia sekeliannya bahawa masa menjadi saksi terhadap berjaya atau gagalnya manusia, untung atau ruginya mereka. Manusia yang berjaya dan beruntung ialah manusia yang memanfaatkannya masanya di dunia (untuk beriman, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya bagi bekalan ke akhirat) dan manusia yang gagal dan rugi ialah manusia yang mensia-siakan masanya.
Imam asy-Syafi’ie pernah dalam satu ungkapannya berkata tentang surah ini:
لَوْ تَدَبَّرَ النَّاْسُ هَذِهِ السُّوْرَةَ لَوَسِعَتْهُمْ
“Jika manusia memerhati dan mengambil pengajaran dari surah ini, maka memadailah bagi mereka”.
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. memberi galakan kepada kita supaya memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sabda baginda;
اغتنم خمسا قبل خمس: حياتك قبل موتك، وصحتك قبل سقمك، وفراغك قبل شغلك، وشبابك قبل هرمك، وغناك قبل فقرك
“Manfaatkanlah lima masa sebelum datang lima masa;
1) Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu
2) Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu
3) Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu
4) Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu.
5) Masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin.(Hadis riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Abbas r.a.)
Bahkan di akhirat nanti, manusia akan dihisab setiap detik masa yang ia lalui di dunia; bagaimana ia gunakannya? Adakah ke arah kebaikan atau kejahatan? Adakah ia manfaatkannya atau ia sia-siakannya? Inilah yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda;
لا تزول قدما عبد حتى يسأل عن عمره فيما أفناه، وعن علمه فيم فعل فيه، وعن ماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه، وعن جسمه فيم أبلاه
“Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan;
1. Umurnya (yakni masa-masa di sepanjang umurnya); bagaimana ia habiskannya?
2. Ilmunya; bagaimana ia amalkannya?
3. Hartanya; dari mana ia perolehi dan cara mana ia belanjakannya?
4. Tubuh-badannya; bagaimana ia gunakannya?
(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Barzah Nadhlah ibn ‘Abid al-Aslami)
Imam asy-Sya’rani ketika mengulas tentang hadis ini dalam kitabnya al-‘Uhud al-Muhammadiah, berkata;
“Inilah empat perkara pokok yang akan ditanya setiap hamba mengenainya (di akhirat). Adapun yang selainnya adalah perkara-perkara cabang/sampingan sahaja”.
Memandangkan bahawa masa amat penting dalam Islam, maka seorang muslim hendaklah memberi perhatian bersungguh-sungguh terhadap masa. Ia hendaklah membina kesedaran yang tinggi terhadap penjagaan masa dan menggunakannya semaksima mungkin untuk mencapai cita-cita dan matlamat hidup sebagai seorang muslim dan mukmin untuk kebahagiann duniawi dan ukhrawi.
Perlunya mujahadah untuk mendidik diri menghargai masa
Namun, perlu kita sedari bahawa seorang insan itu tidak akan berjaya memanfaatkan masanya sebaik mungkin tanpa mujahadah kerana ia berdepan dengan dua musuh utama (dalaman dan luaran) yang sentiasa meruntunnya untuk leka dan lalai di dunia dan mensia-siakan waktunya. Dua musuh itu ialah;
1. Hawa nafsu
2. Syaithan
Hawa nafsu adalah musuh yang paling mencabar bagi manusia kerana ia berada di dalam dirinya. Hawa nafsu adalah teman setia manusia yang sentiasa mendampinginya ke mana sahaja ia pergi. Namun hawa nafsulah yang bakal akan menghancurkan manusia jika manusia tidak hadapinya dengan mujahadah.
Ada beberapa tabi’at buruk yang menjadi faktor kegagalan kita menggunakan masa dengan sebaiknya sebagaimana yang dituntut agama;
1. Tidak mengetahui atau tidak menyedari; apa matlamat kehidupan kita di atas muka dunia ini? Kenapakah Allah menjadikan kita di atas muka dunia ini?
2. Sikap malas, sambil lewa, tidak bertanzim, sukakan kerehatan, leka, lalai, membuang waktu dan sebagainya.
3. Tidak mengetahui al-aulawiyat (keutamaan-keutamaan) dalam hidup; mana perkara-perkara yang penting yang perlu diberi perhatian? dan mana pula perkara-perkara yang tidak penting yang perlu diketepikan?
4. Tabiat suka bertangguh
Semua tabi’at buruk di atas mesti dihadapi oleh kita dengan bermujahadah terhadap diri sendiri. Bermujahadah bermaksud melatih diri dengan sifat-sifat yang baik dan mengekangnya dari menurut hawa nafsu. Orang yang bermujahadah tidak akan membiarkan dirinya dikontrol hawa nafsunya, sebaliknya dialah yang mengkontrol hawa nafsunya.
Dengan mujahadah, kita mesti melatih dan memaksa diri supaya;
1. Memastikan matlamat hidup dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
2. Membuang sikap malas, leka, lalai dan sebagainya tadi.
3. Memberi perhatian kepada perkara-perkara al-aulawiyat (utama/penting) dalam hidup.
4. Membuang sikap suka bertangguh.
Rasulullah s.a.w. pernah berpesan memperingatkan kita;
نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس: الصحة، والفراغ
“Dua nikmat (kuniaan Allah) yang seringkalikebanyakan manusia tertipu (kerana mensia-siakannya) iaitulah; nikmat sihat dan nikmat kelapangan”.
(Hadis riwayat Imam Bukhari, at-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Ibnu Abbas r.a.)
Seorang tokoh sufi terkenal Ibnu ‘Athaillah as-Sukandari dalam kitabnya yang masyhur iaitu al-Hikam mensifatkan tabiat suka bertangguh adalah tanda kebodohan yang ada pada diri seseorang. Ia berkata;
إحالتك الأعمال على وجود الفراغ من رعونات النفس
“Menunda/menangguh amal perbuatan(kebaikan) kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan suatu tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa”.
Seorang hukama’ Islam pernah menasihatkan kita;
لا تؤجل إلى الغد ما يمكنك أن تعمله اليوم
“Janganlah kamu menunda/menangguh sampai besok apa yang dapat engkau kerjakan hari ini”.
Imam Hasan al-Basri pernah berkata;
“Apabila terbit sahaja fajar pada hari baru, ia akan menyeru manusia; ‘Wahai anak Adam! Aku adalah adalah makhluk yang baru. Aku akan menjadi saksi ke atas apa yang kamu lakukan. Gunakanlah aku untuk berbekal dengan beramal soleh. Sesungguhnya aku (apabila berlalu) tidak akan kembali lagi hinggalah menjelangnya kiamat” .
Bagaimana membahagikan waktu?
Seorang muslim mestilah tahu membahagikan masanya mengikut kewajipan yang tertanggung di atas bahunya. Seorang tokoh Islam abad ini, al-Imam asy-Syahid Hasan al Banna berkata;
“Kita diperintahkan supaya mengguna dan membahagikan masa bagi empat tujuan ;
1.Untuk agama iaitu melakukan ketaatan kepada Allah merangkumi yang wajib/fardhu dan yang sunat-sunat.
2. Untuk mencari rezki yang halal bagi menyara diri dan keluarga.
من أمسى كالا من عمل يده أمسى مغفورا له
“Siapa yang berpetang dalam keadaan penat kerana bekerja/berusaha dengan tangan sendiri maka ia berpetang dalam keadaan dikurniakan keampunan baginya”
(Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
3. Untuk berkhidmat kepada manusia dengan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah bagi mereka.
Sabda Nabi(s.a.w);
من مشي في حاجة أخيه كان كمن اعتكف في مسجدي هذا شهرا
“Sesiapa yang berjalan(untuk keluar) memenuhi hajat saudaranya ia seolah-olah beriktikaf di masjidKu ini(iaitu masjid Nabawi) selama sebulan”.
4.Untuk kerehatan badan.
Sabda Nabi(s.a.w);
فإن لبدنك عليك حقا
“Sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu”.
Syeikh Tantawi al-Jauhari berpesan kepada kita;
“Apabila munculnya siang maka buatlah penyusunan terhadap kerja-kerja-yang akan kamu lakukan pada hari itu mengikut masanya dan jangan melakukan sesuatu kerja bukan pada masanya. Ikutilah perancangan kamu yang awal dan jadikan riadhah/bermain pada masanya yang khusus. Ambillah contoh/tauladan daripada Nabi kita(s.a.w) dimana baginda membahagikan masanya kepada beberapa bahagian; -Satu bahagian untuk ibadah -Satu bahagian untuk manusia iaitu mengajar mereka… -Satu bahagian untuk diri baginda sendiri…..”(Syeikh Tantawi Jauhari;kitab “ميزان الجواهير” )
Penulisan ini dipetik daripada blog Ustaz: http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2009/06/masa-dalam-kehidupan-seorang-muslim.html
Sumber: Masa dalam Kehidupan Seorang Muslim
1 Responded To This Post
great reminder.
keep on sharing fieqa
=)
Leave A Reply