KISAS lahirkan ramai pemimpin
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Gambar ihsan KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH
|
Bangunan istana lama, Istana Jemaah masih kekal (kiri) dan bangunan sekolah di kompleks KISAS, Jalan Kota Raja, Klang.
|
KETIKA ditemui pada Khamis lalu, raut wajahnya masih bersisa kepenatan. Ini kerana semalamnya merupakan hari terakhir beliau menjalani Program Latihan Khidmat Negara.
Namun, Fatin Syahirah Mohamad Nawi 17, merupakan remaja yang paling gembira dan begitu bersyukur ke hadrat Ilahi.
Manakan tidak apabila anak keempat dari 10 adik beradik ini tergolong antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009. Beliau beroleh keputusan yang sangat cemerlang iaitu pangkat A+ untuk kesemua 11 mata pelajaran yang diambil.
"Walau sebijak mana pun seseorang pelajar itu, tetapi dia masih memerlukan bimbingan dan sokongan pihak sekolah bagi mencipta kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan," ujar Fatin Syahirah.
Beliau yang sebenarnya masih terkejut dan menganggap keputusan yang dicapai sebagai satu keajaiban.
Katanya, selain fokus atau tumpuan sepenuhnya dalam kelas, menjaga hubungan baik dengan guru adalah amat penting bagi mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu.
"Saya sedih dengan keadaan semasa di mana ramai pelajar yang tidak menghormati guru seperti dilaporkan media kerana ia satu perbuatan yang begitu biadap dan derhaka.
"Saya lekas meminta maaf kepada guru sekiranya menyedari ada terkasar bahasa atau tersilap kata, kerana dalam hayat seseorang itu, guru merupakan ibu bapa kedua kita, maka wajib kita menghormati dan mentaati mereka," katanya.
Begitu sekali beliau menghormati guru yang masing-masing merupakan warga bertuah Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) yang genap 55 tahun penubuhannya pada 8 April tahun ini.
Peranan yang boleh kita lihat pada KISAS adalah sangat luhur dan unggul di negara ini dalam menerajui legasi pendidikan Islam. Kini, sebahagian besar bekas pelajar KISAS menjadi pemimpin-pemimpin utama negara dalam pelbagai bidang.
Sama ada dalam kerajaan mahupun swasta, bekas pelajar mereka benar-benar mengukir nama di persada negara dan antarabangsa. Kesemua mereka mencorakkan negara dan mereka jugalah yang begitu banyak memberikan sumbangan terhadap bangsa dan agama.
Ini termasuklah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman yang dikira antara pelopor sebagai pelajar kolej (ketika itu dikenali sebagai Kolej Islam Malaya), iaitu dari tahun 1959 hingga 1962.
Ulama terkenal, Datuk Dr. Harun Din al-Hafiz, bekas duta negara ke Mesir yang juga mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Pengerusi FELDA yang pernah menganggotai Kabinet, Tan Sri Dr. Yusuf Noor sehinggalah, Dr Bukhari Lubis (UPSI), Zahazan Mohamad, Idris Ahmad (PAS). Dr. Lo'lo' Mohd. Ghazali (PAS), Datuk Rosol Wahid (UMNO), Datuk Shahaniza Shamsuddin (UMNO), mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar, penggiat seni, Allahyarham Zubir Ali dan Faisal Tehrani (sastera dan teater).
Sehinggakan gambaran yang diberikan jika kita melontarkan batu tanpa mengira tempat di negara ini, batu itu pastinya mengenai bekas pelajar KISAS yang jika kita dapati masing-masing tidak sahaja memegang jawatan penting dalam pengurusan Islam negara malah dalam bidang kehakiman, perundangan, ekonomi, doktor perubatan, pensyarah sehinggalah kepada usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya.
Begitu sekali KISAS yang telah melahirkan beribu-ribu bekas pelajar 'menakluk' negara ini.
Lahirnya KISAS ini adalah dari sejarahnya yang tersendiri.
Penubuhannya mendapat restu seluruh warga Islam tidak sahaja dari Malaysia, malah disambut gembira oleh penduduk Islam Singapura dan Brunei.
Lebih-lebih lagi Kolej Islam Malaya dirasmikan penubuhannya dalam suatu istiadat diraja, istiadat yang dimulakan selepas solat Jumaat di tapak Istana Jemaah, Kampung Jawa oleh Sultan Hishamudin Alam Shah Alhaj, iaitu Sultan Selangor yang ke VI.
Almarhum merupakan Sultan yang menjadi kesayangan rakyat atas keprihatinan tinggi baginda dalam soal pendidikan dan dakwah Islam di negara ini.
Keprihatinan tinggi itu apabila kolej ini pada asalnya merupakan sebuah istana yang kemudian diwakafkan berserta tanah yang seluas 5.78 hektar oleh baginda.
Lantas itu KISAS juga dikenali sebagai Bumi Wakafan ekoran kemuliaan baginda untuk mewakafkan istana dan tanah itu yang diharapkan oleh baginda pada masa itu dapat melahirkan para ulama yang bertakwa. Seterusnya menerangi masyarakat negara ini dengan roh-roh islam serta dapat menghapuskan segala bentuk kekufuran dan jahiliah yang ada.
Pelajar awalnya terdiri seramai 43 orang yang datang dari seluruh pelosok Tanah Melayu, Singapura dan Brunei dengan tenaga pengajarnya ketika itu terdiri tokoh-tokoh pengajar akademik terkemuka tempatan dan dari luar negara terutamanya dari Universiti al Azhar, Mesir.
Pengambilan pelajarnya terus ditingkatkan setiap tahun khususnya dengan memberikan tawaran kepada bekas-bekas pelajar terutamanya dari Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dari seluruh negara untuk menyambung tingkatan empat dan lima di kolej.
Pada tahun 1967, kolej ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran dan dijadikan sekolah bantuan penuh kerajaan yang dikenali sebagai Kolej Islam Kelang (KIK).
Diikuti pada tahun 1972, KIK mencapai taraf Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dengan diberi pelbagai kemudahan dan kelengkapan sekolah dan asrama para pelajar.
Pada tahun 1989 KIK kemudiannya bertukar nama kepada Kolej Sultan Alam Shah (Kisas) oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Ini bagi mengenang dan menghargai sumbangan besar ayahanda baginda dalam penubuhan kolej itu.
Kisas terus mengukir kejayaan apabila kelulusan para pelajarnya dalam SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sering dinobatkan menjadikan Kisas antara Sekolah 10 Terbaik Negara.
Sehinggalah baru-baru ini Kisas antara 20 sekolah yang terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) cohort yang pertama.
Justeru, sejarah dan perkembangan Kisas sehingga hari ini mungkin dapat dikongsi dalam suasana yang nostalgia dan ukhuwah apabila Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kisas dan Persatuan Alumni Kisas (Alkis) menganjurkan Majlis Makan Malam Perdana KISAS 2010 di Hotel De Palma, Shah Alam, Selangor, 20 Mac ini.
Pengarah projek, Baharom Kassim berkata, majlis tersebut dijangka dapat mengumpulkan sehingga 800 tetamu terutamanya bekas pelajar KISAS tanpa mengira tahun kemasukan.
"Majlis ini sangat bermakna lebih-lebih lagi bakal dirasmikan oleh Dr. Yusuf Noor sebagai salah seorang pelajar generasi awal Kolej Islam Malaya," katanya.
Menurut Baharom, majlis yang julung-julung kali itu juga diadakan bagi memberitahu masyarakat mengenai Kisas dan bagaimana mereka sama-sama membantu dan menyokong sebuah institusi pendidikan Islam yang bertujuan untuk melahirkan modal-modal insan di negara ini.
"Kami berharap dapat mengumpulkan seramai mungkin tetamu yang terdiri dari para ibu bapa, para pelajar, alumni, guru-guru dan bekas guru bagi menjadikan malam tersebut adalah malam untuk mengenang semula Kisas dan menyuntikkan semangat dan dorongan untuk mereka terus bersama Kisas," katanya.
Walaupun tidak dapat hadir, mereka masih boleh memberi sumbangan menerusi akaun simpanan bank iaitu BIMB 12-010-01-001168-2.
Maklumat lanjut mengenai majlis ini boleh menghubungi Baharom di talian 019-3799101, Wan Abdul Rahim di talian 012-3923171 dan Azmi 013-3840710 atau melayari blog http://makanmalamperdanakisas. blogspot.com.